Dunia Islam Berduka akan Wafatnya Syeikh DR Abdul Karim Zaidan

zaidanSeorang tokoh ulama dan pemikir Islam, Syeikh Dr Abdul Karim Zaidan telah meninggal dunia di bandar San’aa’, ibu negara Yaman.

Beliau yang berasal dari Iraq meninggal dunia ketika umurnya 97 tahun. Beliau telah menetap di Yaman dan mengajar di Universiti Iman semenjak tahun 90an.

Syeikh Dr Abdul Karim Zaidan terkenal sebagai tokoh dakwah dan pemikir Islam, menjadi pakar rujuk dan telah menulis puluhan karya dalam perundangan, syariah dan pendidikan Islam.

Syeikh Abdul Karim juga dianggap sebagai seorang ulama yang hebat, berani mempertahankan Islam dalam berbagai isu dan sangat menitikberatkan kesatuan rakyat Iraq.

Kematian Syeikh Abdul Karim merupakan  kehilangan besar kepada umat Islam sedunia secara umum, dan kepada bumi Iraq secara khusus kerana usaha beliau yang tidak pernah jemu dalam menghadapi penjajahan Amerika yang mengancam kedaulatan bumi Iraq.

Biografi Syeikh Dr Abdul Karim Zaidan

Beliau dilahirkan pada tahun 1917 di Baghdad. Pendidikannya bermula di pusat-pusat pengajian Al-Quran di masjid-masjid di kampungnya. Kemudian beliau menyambung pengajiannya di Fakultas Undang-undang di sebuah universitas di Baghdad. Selanjutnya beliau menyambung pengajian sarjananya di Universitias Kaherah dan berhasil mendapatkan hasil Mumtaz. Pada tahun 1962, beliau berhasil  mendapat keputusan mumtaz  tahap pertama dalam  doktor falsafah di universitas yang sama.

Semasa berada di Maahad Syariah Islamiyah di Universiti Kaherah, beliau mengikuti pengajian khas dalam Fiqh Islami dan rujukan utamanya ialah buku-buku Ibnu Taimiyah dan Ibnu Qayyim Al-Jauziyah. Beliau juga menyertai pengajian dan perbincangan-perbincangan fiqh .

Beliau kemudiannya dilantik menjadi pensyarah Syariah Islamiyah dan Ketua Jabatan Syariah Islamiyah di Fakultas Undang-undang di Baghdad, kemudian menjadi Ketua Jabatan Agama di Fakultas Adab Universitas Baghdad. Selepas itu menjadi pensyarah Syariah Islamiyah di Fakultas Pengajian Islam lalu menjadi dekan di fakultas tersebut.

Pada 1992, beliau meninggalkan Iraq dan dilantik menjadi pensyarah Syariah Islamiyah di Jabatan Pengajian Islamiyah dan pensyarah pengajian sarjana dan doktor falsafah di Universitas San’aa’ dan tetap mengajar di universitas itu hingga wafatnya.

Beliau juga menjadi pensyarah di Jabatan Fiqh dan Usul Fiqh di Universitas Iman di San’aa’.

Sejak tahun 70an, beliau dilantik menjadi anggota beberapa majlis ulama dan majlis fiqh Islami sedunia.

Beliau telah dikurniakan anugerah khas Raja Faisol Arab Saudi  atas karyanya  iaitu “Al-Mausu’ah” atau Ensiklopedia berkenaan hukum-hukum wanita dan baitul muslim.

Beliau juga telah menulis banyak karya ilmiah dan banyak di antaranya telah dijadikan silabus universitas-universitas di dunia Islam.

Semoga Allah memasukkan beliau dalam golongan para anbiya’ dan solihin dan diharapkan akan lahir lebih ramai ulama yang hebat seperti beliau untuk memenangkan agama ini.

Mohd Firdaus Salleh Hudin

Isma