Nabi Sudah Lama Pesan, 6 Penyakit akan Menimpa Umat Akhir Zaman!

eramuslim.com – PADA akhir zaman ini terdapat penindasan berlaku di mana-mana sahaja termasuklah sesama umat Islam sendiri kerana sifat tamak dalam diri manusia.

Jutaan saudara kita ditindas dengan pelbagai cara seperti wanita dirogol dan dibunuh dan kanak-kanak dibunuh, tanah dan rumah mereka dirampas, dibakar, dihalau dari kampung halaman, hatta dihalau dari negara asal masing-masing.

Kita dapat lihat keadaan ini berlaku di merata dunia seperti kepada umat Islam Rohingya di Myanmar, penduduk asal Islam di Palestin, Ahli Sunnah di Syria, bangsa Islam Ughyur di China, bangsa Moro Islam di Selatan Filipina, penduduk Islam di selatan Thai, muslim di Bosnia dan muslim di Iraq.

Kalau kita teliti beberapa hadis Nabi Muhammad SAW, Nabi SAW sudah menceritakan keadaan yang berlaku sekarang ini dan kenapa ia berlaku kepada umat Islam atau apa salah dan dosa umat Islam diperlakukan dan dihina sehina-hinanya?

Daripada Tsauban r.a, beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda: “Hampir tiba satu waktu di mana bangsa-bangsa dari seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang yang hendak makan mengerumuni hidangan mereka.”

Maka salah seorang sahabat bertanya: “Adakah hal itu kerana bilangan kamu sedikit pada hari itu?” Nabi SAW menjawab: “Bahkan kamu pada hari itu ramai sekali, tetapi kamu umpama buih pada waktu banjir dan Allah SWT akan mencabut rasa gentar terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu dan Allah akan melemparkan ke dalam hati kamu penyakit wahan.”

Seorang sahabat bertanya: “Apakah penyakit wahan itu wahai Rasulullah?”  Nabi SAW menjawab: “Cinta dunia dan takut mati” [HR Abu Dawud].

Ternyata daripada hadis di atas Rasulullah SAW pernah menyatakan berlakunya keadaan ini kerana kesalahan umat akhir zaman ini yang mempunyai antaranya dua penyakit yang amat kronik, walaupun jumlah umat Islam dalam dunia sekarang adalah lebih I.8 billion (setakat 2012).